KOTA KINABALU: Program Kembara Ilmu dan Doa Rakyat Sabah untuk Palestin yang berlangsung selama 15 hari di seluruh negeri Sabah melabuhkan tirainya malam tadi dalam satu majlis penutupan rasmi di Masjid Bandaraya.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ruslan Muharam menyatakan penghargaan terhadap sambutan rakyat sepanjang program tersebut yang telah menjelajah 11 daerah dan 25 buah masjid di seluruh negeri.
Menurut beliau, kehadiran seorang alim ulama terkenal dari Istanbul, Turki, yang merupakan keturunan Rasulullah SAW menjadi tumpuan utama kembara ini.
Ulama tersebut telah menyampaikan kuliah dan pengisian ilmu yang disifatkan sebagai sangat bermanfaat kepada masyarakat Islam di negeri ini.
“Ramai yang hadir menyatakan rasa syukur kerana dapat menimba ilmu daripada seorang tokoh Syariah yang dihormati. Perkongsian beliau bukan sahaja menambah ilmu, bahkan menyemai kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” katanya ketika ditemui media selepas selesai Program tersebut di sini, semalam.
Program itu turut menyaksikan rakyat Sabah bersama-sama mengangkat doa khusus untuk rakyat Palestin yang sedang menderita akibat krisis kemanusiaan yang berlarutan.
“Kita sangat bersyukur kerana dapat bersama-sama tuan guru memimpin doa untuk saudara kita di Palestin. Ini menunjukkan solidariti rakyat Sabah terhadap isu umat Islam di peringkat global,” katanya lagi.
Ruslan turut menegaskan perlunya umat Islam memperkukuhkan kesatuan dan ukhuwah demi membina kekuatan ummah yang menyeluruh.
“Sejarah telah membuktikan bahawa perpaduan adalah asas kekuatan Islam. Kita perlu bangkit memperkukuh kesatuan ini agar Islam terus teguh di bumi ini,” tambah beliau.
Program ini dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS) dengan kerjasama masjid-masjid daerah dan pihak berkuasa tempatan.






