PUTATAN, SABAH – Konvoi Kembara Merdeka Jalur gemilang (KMJG) 2024 membuka tirai semalam dengan melengkapkan perjalanan sejauh 45km di lima lokasi perhentian di dua daerah iaitu Penampang dan Putatan.
Konvoi KMJG yang tiba di Dewan Sri Putatan pada jam 2.45 petang diketuai Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Nor dan disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Sahari serta Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh.
Ketibaan konvoi dirai dengan Persembahan Sambut Tamu Pencak Silat daripada Kelab Silat oleh Raga Selendang Hijau, SMK Petagas.
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu, “Negaraku” dan “Sabah Tanah Airku” diikuti bacaan ikrar Rukun Negara.
Selepas ucapan oleh Jainisah, Awang Ahmad kemudiannya berucap merasmikan KMJG 2024 Negeri Sabah di Daerah Putatan sebelum ke acara kemuncak, pelepasan peserta KMJG.
Terdahulu, pelepasan konvoi yang dimulakan di Dataran Majlis Perbandaran Penampang pada sebelah pagi dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick sementara, SMK Limbanak menjadi lokasi pertama persinggahan konvoi berkenaan sebelum singgah ke lokasi seterusnya iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah.
Konvoi disertai seramai 60 peserta termasuk petugas media melibatkan 18 buah kenderaan daripada 14 Jabatan telah dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di perkarangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), pada 1 Ogos lalu.
Hari ini, KMJG 2024 akan meneruskan penjelajahan ke Papar, Beaufort, Membakut, Kuala Penyu, Sipitang seterusnya akan ke Pedalaman Atas, Pantai Timur Sabah, Pantai Barat Utara sebelum berakhir di Pantai Barat Selatan membabitkan jarak 2,400km selama 20 hari.
Hadir sama, Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Kerja Raya Sabah, Sufian Matin serta Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton, Wakil Komuniti MADANI, Sumitah Hassan, Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Tansau, Paduka Ayahanda Hakim serta Guru Penyelaras SMK Putatan, Najihah Nordin. — JABATAN PENERANGAN SABAH