TAWAU, SABAH – Mayat bogel seorang lelaki dikatakan kurang siuman ditemui tertiarap selepas dipercayai terjun dari bangunan sebuah premis makanan segera di Batu 5, Jalan Apas, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata menerima panggilan berhubung kes pada jam 12.17 tengah hari.
“Saksi kejadian adalah seorang petugas pengawal keselamatan di restoran berkenaan.
“Saksi melihat mangsa datang ke kawasan bangunan dan terus memaklumkan pengurus restoran untuk menutup pintu belakang kerana risau dia akan masuk ke dalam.
“Namun selepas itu, pekerja restoran yang berkerja di bahagian pandu lalu memberitahu terdapat seorang lelaki jatuh di luar bangunan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Jasmin walau bagaiamanapun berkata tiada sebarang saksi yang melihat sama ada lelaki kurang siuman terbabit terjatuh atau terjun untuk membunuh diri.
Mayatnya telah dihantar ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).





