KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan bomba terpaksa menyampaikan berita buruk pemergian seorang warga emas yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Lintas, semalam, kepada anaknya.
Ketua Balai BBP Lintas, Agustavia Joe Guasi bersama termasuk 10 anggota bertindak ke lokasi kejadian berhadapan BMW Regas Premium pada 2.10 petang.
Sedang bertugas, Agustavia berkata menyedari telefon mangsa lelaki berusia 68 tahun itu berbunyi.
“Saya menjawab panggilan dan kemudian memaklumkan kepada anaknya yang bapa dia sudah tiada.
“Sebanyak tiga kali dia memanggil nombor itu untuk mengulangi pertanyaan yang sama.
“Macam menyesal pula angkat panggilan itu. Sampai sekarang masih terbayang perasaan keluarga terbabit,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata mangsa kemungkinan dalam perjalanan pulang dari pasar kerana terdapat ayam segar di dalam kenderaan Toyota Avanza yang dipandu mangsa.
Seramai enam orang membabitkan empat buah kenderaan termasuk Lori 10 tan, Toyota Hilux dan Lexus RS350 terlibat dalam kemalangan.
Walau bagaimanapun, kesemua mangsa dewasa lain dilaporkan selamat.
Rakaman ‘dashcam’ kejadian yang tular lewat semalam menunjukkan mangsa hilang kawalan dari lorong tengah dan merempuh kereta dan belakang sebuah lori yang sedang menunggu giliran untuk membuat pusingn-U.