Naratif Parti Lokal Semakin Kurang Relevan Buat Rakyat Sabah

Naratif Parti Lokal Semakin Kurang Relevan Buat Rakyat Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, isu “undi parti lokal, tolak parti luar” kembali dimainkan sebagai strategi politik oleh sesetengah pihak.

Namun, bagi rakyat Sabah hari ini, slogan seperti “Sabah for Sabahan” semakin kurang relevan kerana keutamaan pengundi kini lebih tertumpu kepada isu pembangunan dan kesejahteraan hidup.

Menurut Penyelidik GeOPES Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Haryati Abdul Karim, naratif anti-parti luar ini sering digunakan untuk membangkitkan semangat autonomi, seolah-olah Sabah hanya boleh maju jika ditadbir oleh parti tempatan. 

“Realitinya, Sabah tidak boleh berdiri sendiri tanpa hubungan atau kerjasama dengan pihak luar, termasuk kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, sejarah menunjukkan Sabah sudah lama diperintah oleh parti-parti lokal seperti USNO, Berjaya dan PBS sebelum kemasukan UMNO pada 1990.

Walaupun selepas itu pemerintahan Sabah lebih bersifat gandingan parti lokal dan nasional, negeri ini tetap menikmati kemajuan, walaupun tidak setara dengan Semenanjung.

Dr. Haryati menegaskan, isu sebenar rakyat Sabah bukan soal parti luar atau tempatan, tetapi masalah asas seperti kemiskinan, gangguan air dan elektrik, jalan raya rosak serta peluang pekerjaan yang terhad.

“Rakyat memerlukan kepimpinan berwawasan dan dasar pragmatik untuk memajukan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup,” ujarnya.

Beliau menambah, pengundi Sabah perlu menilai tawaran pembangunan yang realistik dan inklusif, bukan terperangkap dengan retorik sentimen.

“Rakyat sudah melalui pentadbiran di bawah pelbagai gabungan lokal, nasional dan campuran. Kini mereka harus memilih berdasarkan solusi, bukan slogan,” katanya.

Dr. Haryati menyimpulkan bahawa naratif undi parti lokal, tolak parti luar tidak lagi relevan dalam konteks semasa kerana rakyat lebih memerlukan kepimpinan yang mampu membawa Sabah maju dan makmur, tanpa menjejaskan hubungan dengan kerajaan Persekutuan.