PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, menyatakan kesediaannya untuk meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf hak perlembagaan Sabah berhubung 40 peratus hasil persekutuan.
Ewon berkata, keputusan itu selaras dengan resolusi yang diluluskan Konvensyen UPKO Bahagian Penampang hari ini, yang menuntut beliau berundur daripada Kabinet sekiranya AGC meneruskan rayuan tersebut.
“Ini bukan soal politik tetapi soal hak dan prinsip. Saya tidak dapat menyokong sebarang tindakan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu,” katanya ketika berucap di konvensyen berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan bagi merekodkan pendirian rasmi UPKO agar AGC tidak memfailkan rayuan.
Ewon menegaskan, jika dalam tempoh 30 hari rayuan tetap difailkan, beliau akan menghormati resolusi parti dan mengundurkan diri daripada Kabinet demi mempertahankan hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.






