Ketua Penerangan PBS, Dr Bonaventure Boniface berkata, cadangan itu antara enam perkara yang dikemukakan parti berkenaan bagi memastikan Belanjawan 2027 dapat memenuhi keperluan pembangunan Sabah.
Beliau berkata, meskipun belanjawan itu menamakan beberapa zon dan hab ekonomi di Johor, utara Semenanjung, Pulau Pinang dan Perak, selain rundingan rasmi Zon Ekonomi Khas Sibu di Sarawak, tiada pengumuman seumpamanya untuk Sabah.
“Jalan dan elektrik ialah asas penting pembangunan. Pada masa yang sama, Sabah memerlukan strategi pertumbuhan yang membawa pelaburan, mengembangkan industri dan menyediakan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau turut membangkitkan bahawa Sabah yang bersempadan dengan Kalimantan hanya menerima naik taraf jalan sempadan, sedangkan ucapan belanjawan menyifatkan sempadan negara sebagai “gerbang baharu kemakmuran”.
Menurutnya, PBS menyambut baik peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah dalam Belanjawan 2027, namun peningkatan sebanyak 6.2 peratus berbanding RM17.6 bilion tahun ini perlu dilihat berdasarkan cabaran sebenar negeri untuk merapatkan jurang pembangunan.
“PBS menghargai peruntukan ini serta komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah. Pada masa yang sama, kami berpandangan bahawa usaha merapatkan jurang pembangunan memerlukan peruntukan yang sepadan dengan keperluan dan cabaran sebenar negeri,” katanya.
Selain rundingan zon ekonomi khas, PBS turut mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menerbitkan pecahan peruntukan bersama Sabah dan Sarawak, melaporkan kemajuan projek jalan raya dan elektrik setiap suku tahun serta menyenaraikan sekolah daif Sabah yang akan dinaik taraf pada 2027.
Parti itu juga meminta pengesahan mengenai projek kesihatan dan tebatan banjir di Sabah serta pemuktamadan formula tahunan Pemberian Khas kepada negeri.
Dalam pada itu, Bonaventure mengalu-alukan beberapa inisiatif pembangunan termasuk peruntukan RM204 juta bagi pemasangan sistem Statcom di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud serta RM600 juta untuk kelangsungan bekalan elektrik.
Beliau turut menegaskan bahawa Pemberian Khas interim RM1.5 bilion tidak membatalkan atau menggantikan tuntutan Sabah terhadap hak 40 peratus hasil bersih Kerajaan Persekutuan yang diperoleh dari negeri ini.
“Bayaran interim merupakan langkah sementara dan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad kepada tuntutan tersebut. PBS melalui GRS akan terus memperjuangkan hak ini melalui rundingan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Bonaventure berkata, PBS melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan peruntukan pembangunan diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat Sabah.






