KOTA BELUD: Pengiktirafan Kinabalu Global Geopark oleh UNESCO perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin ekonomi bagi meningkatkan pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh industri pelancongan berasaskan komuniti di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, pengiktirafan antarabangsa itu tidak seharusnya terhenti sebagai pencapaian semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang dapat dinikmati masyarakat, khususnya penduduk sekitar Gunung Kinabalu.
“Cabaran besar untuk semua kita ialah bagaimana pengiktirafan oleh UNESCO tersebut diterjemahkan dan dicairkan menjadi aktiviti ekonomi yang dirasai oleh rakyat.
“Mudah-mudahan pengiktirafan ini dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi untuk Sabah secara umumnya dan rakyat atau komuniti di sekitar Gunung Kinabalu secara khususnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Tamu Geopark Kota Belud sempena Tamu Besar Kota Belud 2026, di sini, Ahad lalu.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, Kota Belud memiliki kelebihan untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan bersepadu berikutan kekayaan aset semula jadinya, termasuk Pulau Mantanani, Sungai Kadamaian, Sungai Tampasuk dan Gunung Kinabalu.
Katanya, potensi itu perlu dimanfaatkan menerusi pembangunan pakej pelancongan dan strategi penjenamaan khusus bagi menarik lebih ramai pengunjung.
“Cabaran kita sekarang ialah bagaimana kekayaan ini dapat dibangunkan sebagai satu pakej pelancongan dengan penjenamaan khas untuk Kota Belud, khususnya dalam konteks Geopark Kinabalu,” katanya.
Menurutnya, pembangunan pelancongan juga perlu memberi manfaat langsung kepada pengusaha inap desa, pemandu pelancong, pengusaha makanan, pembuat kraftangan dan peniaga kecil.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama antara kementerian berkaitan pelancongan dengan kementeriannya bagi membangunkan pakej pelancongan serta produk tempatan secara bersama.
Pada masa sama, Ewon mengingatkan komuniti setempat supaya terus memelihara khazanah alam, menghormati hukum adat dan mengekalkan warisan budaya sebagai sebahagian daripada tanggungjawab susulan pengiktirafan UNESCO.
Beliau turut menghargai usaha Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta Taman-Taman Sabah menganjurkan Tamu Geopark sebagai acara tahunan sejak pengiktirafan Kinabalu Global Geopark pada 2023.






