PM Umum Bantuan Raya RM500 Kepada Penjawat Awam Gred 56 Dan Ke...

PM Umum Bantuan Raya RM500 Kepada Penjawat Awam Gred 56 Dan Ke Bawah

0
SHARE
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim umum Bantuan Khas Aidilfitri kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk mereka yang dilantik sebagai kontrak.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan kewangan sebanyak RM250 turut diberikan kepada pesara, sama ada yang berpencen atau tidak.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk menyalurkan bantuan khas ini bermula Jumaat ini,” katanya pada perjumpaan bulanan bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Jelas Anwar, keputusan untuk memberi bantuan khas itu diambil selepas mendengar maklum balas daripada penjawat awam semasa lawatan beliau ke beberapa negeri baru-baru ini.

“Semasa saya berjumpa dengan penjawat awam semalam, mereka bertanya tentang bonus raya, ada yang rasa malu untuk bertanya, tetapi saya memahami keadaan mereka. Seorang lagi mengatakan bahawa bonus awal tersebut telah digunakan untuk belanja.

“Semalam saya berada di Sarawak dan hari ini saya berada di Perlis, namun di mana-mana tempat saya lawati penjawat awam masih mengeluh.

“Saya belum maklumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengenai pemberian bonus raya ini kerana saya berpendapat bahawa RM2,000 yang telah diberikan sudah mencukupi, tapi melihat reaksi mereka, saya rasa perlu beritahu KSN,” katanya.

Untuk rekod, 23 Februari lalu, penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk mereka yang dilantik kontrak, menerima bayaran insentif awal sebanyak RM2,000.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengumumkan bahawa Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 akan disalurkan pada Rabu ini.