KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) dalam satu kenyataan mengeluarkan AMARAN HUJAN BERTERUSAN pada tahap BAHAYA di Pantai Barat negeri ini yang dijangka berlaku sehingga Ahad (2 Januari 2022).
“Hujan berterusan dijangka berlaku di Ranau, Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Kudat,” katanya dalam sebuah kenyataan dikeluarkan 1.25 tengah hari tadi melalui Facebook rasmi Malaysia Meteorological Department.
Menurut kenyataan itu, amaran waspada tersebut akan dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir yang dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.
Dalam kenyataan yang sama, hujan berterusan pada tahap bahaya dikeluarkan bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga esok (Jumaat) di mana tanda-tanda menunjukkan ribut petir sedang atau dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150mm dalam tempoh 24 jam.
Met Malaysia dalam kenyataan itu turut menjelaskan TIGA (3) kategori AMARAN HUJAN BERTERUSAN iaitu;
Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150mm dalam tempoh 24 jam.
Amaran Hujan Berterusan (Buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60mm dalam tempoh 6 jam.
Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi 6 jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.