KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony, dijangka bersidang pada petang ini berhubung pelawaan keahlian.
Dr Jeffrey berkata pihaknya telah dihubungi wakil Peter selepas pelawaan itu dibuat semalam.
Pada Selasa, bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah tersebut serta ADUN Limabahau, Datuk Juil Nuantim, mengumumkan langkah keluar dengan penubuhan sebuah parti berbilang kaum berasaskan Kadazan Dusun Murut (KDM) yang baharu.
Jeffrey berharap Peter tidak meneruskan dengan penubuhan parti itu jika beliau benar berhasrat untuk mesra kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kita sudah terlalu banyak parti politik berasaskan KDM yang sudah wujud dan kita boleh menggunakan parti-parti tersebut,” katanya dengan harapan Peter akan menyertai STAR.
Katanya akan timbul masalah jika terlalu banyak parti tempatan berkumpul di bawah satu panji.
“Kami (GRS) sedang dalam perbincangan yang dipanggil sebagai fasa transisi kepada peringkat seterusnya untuk mengumpulkan semua parti KDM di bawah satu bumbung…
“Kita harus meneruskan kesatuan dan suasana politik stabil yang ada demi Sabah,” tambahnya.
Sebelum ini Peter berkata Sabah memerlukan kuasa autonomi parti tempatan untuk mentadbir negeri seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Dalam pada itu, beliau berkata jentera STAR sudah digerak untuk membantu komponen GRS yang lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.
“Kami berharap strategi kali ini memastikan kemenangan bersama. Sudah tentu semua parti berhasrat untuk bertanding sebanyak kerusi yang mungkin tetapi kita perlu berunding bagi mengelak berlakunya pertembungan,” katanya.
Beliau yang juga Menterian Pertanian dan Perikanan ditemui pada majlis apresiasi kementeriannya pagi tadi.






