KOTA KINABALU, SABAH – ‘Kluster Paka Kawiyan’ di Ranau akibat kegagalan individu yang tidak mematuhi arahan kuarantin.
Malah, siasatan mendapati kes indeks iaitu seorang wanita, 32, telah berinteraksi dengan penduduk kampung di sebuah kawasan kebun getah ketika cuba mendapatkan akses talian internet.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata daripada 132 orang yang disaring dari 29 Julai hingga 14 Ogos, kluster ini merekodkan 41 kes positif.
Kluster Paka Kawiyan merupakan antara tiga kluster yang dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) semalam.
Kluster Segama Batu Satu di Lahad Datu pula merupakan kluster tempat kerja yang berlaku di sebuah syarikat perusahaan tayar.
Kes indeks adalah pekerja lelaki, bukan warganegara, 40, yang didapati positif hasil saringan tempat kerja pada 12 Ogos 2021 di sebuah klinik swasta.
“Punca jangkitan masih dalam siasatan namun risiko jangkitan didapati tinggi seperti keadaan rumah kongsi yang sesak serta aktiviti sosial dalam kalangan pekerja setiap petang…
“Semua kes positif dalam kluster ini telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di pusat kuarantin.
“Daripada 39 kontak yang disaring, 18 individu dikesan positif,” katanya.

Kes indeks Kluster Tangkuyan di Kinabatangan merupakan kerani wanita, 27, di sebuah ladang sawit Beluran.
Wanita terbabit indeks disahkan positif dalam saringan tempat kerja pada 9 Ogos 2021 dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya.
“Hasil siasatan mendapati kes indeks mempunyai sejarah menghadiri upacara pengebumian ahli keluarga di Kampung Tangkuyan, Kuamut…
“Siasatan kontak seterusnya mendapati seramai 128 kontak keluarga, sosial dan tanggungan telah didapati positif COVID-19.
“Persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko berkemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung berdekatan,” jelas Masidi.
Dalam pada itu, empat (4) lokaliti di Kota Belud, Sabah dan satu (1) lokaliti di Tawau dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 17 Ogos sehingga 30 Ogos.
“Kawasan ini termasuk Kampung Mantanau, Pirasan Ulu, Suang Punggur dan Tambulaung di Kota Belud, dan Taman Megah Jaya di Tawau,” kata Masidi.