Bomba Sabah Guna Motorsikal Selamatkan Wanita Sarat Mengandung Keluar Dari Kawasan Banjir

Bomba Sabah Guna Motorsikal Selamatkan Wanita Sarat Mengandung Keluar Dari Kawasan Banjir

0
SHARE

PENAMPANG, SABAH – Pasukan Bomba Sabah membantu menyelamatkan seorang wanita yang sedang sarat mengandung keluar dari Kampung Sugud di sini semasa kejadian banjir awal pagi tadi.

Ketua Operasi, PPgB Mohammad Hannis berkata pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada pukul 1.22 pagi.

Semasa tiba di lokasi pada 11 minit kemudian, pasukan mendapati keadaan laluan masuk ke kampung tersebut tidak boleh dilalui kenderaan.

“Jalan dihalang lumpur dan serpihan kayu akibat limpahan air sungai manakala jarak perjalanan dari tempat kenderaan ke lokasi rumah wanita mengandung sejauh 1 KM,” katanya.

Kegigihan pasukan Balai Bomba Penyelamat Kota Kinabalu bertindak membawa wanita tersebut menggunakan motorsikal orang awam sehingga tiba di lokasi kenderaan bomba.

Hannis berkata mangsa kemudian dihantar kepada sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang menunggu di tepi Jalan Lok Kawi.

Operasi terkawal pada pukul 2.05 pagi sementara operasi tamat pada 2.40 pagi.