KUDAT, SABAH – Struktur pondok haram atas air lebih dikenali sebagai ‘pondohan’ di sekitar perairan Si Bogo, Pulau Bangkawan sini, akan dirobohkan dalam siri pertama Op Gasak Laut tahuni ini.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), DCP Hamzah Ahmad berkata operasi akan bermula pada 18 Mei (Rabu).
Katanya tindakan itu dilaksanakan kerana pondohan terbabit berpotensi menjadi lokasi persinggahan penjenayah rentas sempadan terutama di kawasan perairan negara…
“Sejumlah pondohan yang tidak berpenghuni telah diberikan notis pengosongan kerana dibimbangi menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut belau, hasil tinjauan pasukan keselamatan menerusi aset udara dan pemeriksaan di lapangan mendapati kewujudan pondohan sejak akhir-akhir ini semakin bertambah.
“Hasil maklumat yang diterima juga mendapati pondohan haram tersebut berpotensi dijadikan lokasi persinggahan elemen penjenayah rentas sempadan yang ingin melakukan penculikan, rompakan dan penyeludupan di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
“Oleh itu tindakan penguatkuasaan ini diambil sebagai langkah proaktif untuk menghindarkan kegiatan pembinaan struktur haram daripada terus berleluasa selain dieksploitasi penjenayah di kawasan perairan ESSZone,” katanya.
Menurut beliau, operasi bersepadu bersama pasukan keselamatan lain akan mengeluarkan notis mengikut peruntukan Seksyen 48(1) (j) Enakmen Taman Taman Sabah 1984 pindahan 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 termasuk undang-undang lain yang berkaitan apabila operasi dijalankan diperairan tersebut.
“ESSCOM sentiasa bersiap sedia untuk bertindak pada bila-bila masa bagi menggempur pondohan, penempatan dan bagang haram di sepanjang perairan pantai timur Sabah,” tegasnya.