Jabatan Khas Penting Untuk Memelihara Bahasa Ibunda – Maximus

Jabatan Khas Penting Untuk Memelihara Bahasa Ibunda – Maximus

0
SHARE

KOTA MARUDU, SABAH – Satu jabatan khusus wajar ditubuhkan untuk melindungi dan memelihara bahasa ibunda sebelum ia pupus.

“Ia semakin sukar untuk mencari seseorang yang boleh bercakap dengan baik dalam bahasa ibunda kita, terutamanya dalam kalangan generasi muda…

“Oleh itu, adalah penting untuk mempunyai jabatan yang sesuai yang akan melindungi dan memelihara semua bahasa ibunda di Sabah,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Berucap pada majlis pelancaran Pesta Menuai Matunggong, disini, hari ini, beliau berkata dana boleh disalurkan dengan sewajarnya melalui jabatan itu untuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi pemeliharaan bahasa ibunda.

Sementara itu, Maximus turut menyokong gesaan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Huguan Siou (pemimpin Tertinggi) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan untuk bulan bahasa etnik bagi mempromosikan dan memelihara bahasa ibunda Sabah.

Maximus yang juga Timbalan Presiden KDCA dan Pengerusi KDCA Kota Marudu berkata pertandingan berkaitan Kadazan Dusun Murut Runggus (KDMR) akan dianjurkan untuk mempromosikan bahasa itu di kalangan golongan muda.

“KDCA Kota Marudu akan menganjurkan beberapa pertandingan antaranya ucapan, bercerita, dan perbahasan, semuanya dalam bahasa KDMR…

“Kami berharap ini bukan sahaja menggalakkan, tetapi mencetuskan minat golongan muda untuk mempelajari bahasa itu,” katanya.