KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan membuka siasatan tatatertib terhadap tiga pegawai polis di Sabah yang terlibat dalam siasatan awal kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan menghantar pasukan JIPS ke Sabah dalam masa terdekat untuk mengambil keterangan dan tindakan lanjut.
Memetik Harian Metro, Ayob Khan turut dilaporkan berkata, siasatan tatatertib akan dijalankan terhadap Ketua Polis Daerah berpangkat Superintendan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (ASP) dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
“JIPS akan ambil keterangan semua dan buka kertas tatatertib. Kesemua pegawai berkenaan masih bertugas,” katanya ketika ditemui media pada satu majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, semalam.
Ayob Khan menjelaskan, siasatan JIPS akan meneliti aspek penyeliaan dan pemantauan siasatan kes berkenaan. Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pegawai yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab.
“Mereka kena bertanggungjawab. Jika tidak buat penyeliaan atau tindakan sewajarnya, pegawai terbabit akan dikenakan tindakan tegas,” katanya lagi.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan pasukan Task Force yang memulakan siasatan pada 11 Ogos lalu mendapati berlaku ketidakpatuhan prosedur, termasuk kegagalan pegawai penyiasat membuat permohonan bedah siasat terhadap mangsa.
Kes kematian Zara Qairina mendapat perhatian umum apabila pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar itu ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, keesokannya.






