Perkahwinan Kanak-kanak Jejas Masa Depan, Pembangunan Modal Insan Sabah – Julita

Perkahwinan Kanak-kanak Jejas Masa Depan, Pembangunan Modal Insan Sabah – Julita

0
SHARE

MATUNGGONG: Usaha membendung perkahwinan kanak-kanak perlu terus diperkasa kerana isu itu bukan sahaja menjejaskan individu dan institusi keluarga, malah memberi implikasi terhadap pembangunan modal insan serta masa depan negeri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, setiap kanak-kanak berhak menikmati peluang pendidikan, membina kemahiran dan mengembangkan potensi diri sebelum memikul tanggungjawab berkeluarga.

Perkahwinan kanak-kanak bukan sekadar isu angka atau statistik. Yang lebih penting, kita mesti memastikan anak-anak diberi ruang untuk meneruskan pendidikan, membina masa depan yang lebih baik serta menjadi modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Isu Perkahwinan Kanak-Kanak (MIPA) peringkat daerah Matunggong.

Menurutnya, kanak-kanak yang diberi peluang melanjutkan pendidikan dan memperkasa kemahiran berpotensi menjadi generasi yang lebih berdaya saing, berpengetahuan dan berkebolehan, di samping menyokong agenda pemerkasaan wanita.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha menangani isu berkenaan memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat, institusi pendidikan, agensi kerajaan serta komuniti setempat.

Program MIPA merupakan inisiatif berterusan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) yang memberi penekanan kepada pendidikan dan advokasi berkaitan implikasi perkahwinan kanak-kanak, merangkumi aspek psikologi asas, literasi undang-undang serta pendidikan kesihatan diri dan reproduktif.