KOTA KINABALU: Resepi Nusantara – Asian Buffet 2026 menyaksikan Sabah International Convention Centre (SICC) menghidangkan 850 menu Asia dan Kontinental sempena Ramadan tahun ini, sekali gus menyokong industri pertanian dan perikanan tempatan menerusi kerjasama strategik bersama pelbagai agensi kerajaan.
Program yang berlangsung dari 26 Februari hingga 18 Mac itu menampilkan kepelbagaian hidangan termasuk sajian Asia gaya penjaja, resipi warisan turun-temurun serta pilihan kuih-muih tradisional yang diperluas bagi memenuhi selera pelbagai lapisan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Dr. Rosmawati Lasuki berkata, edisi tahun ini bukan sahaja menekankan skala dan kepelbagaian menu, malah memberi fokus kepada kolaborasi bermakna serta peranan SICC sebagai platform yang menyatukan komuniti.
“Setiap tahun, kami meningkatkan standard pengalaman Ramadan di SICC. Bagi 2026, fokus kami adalah kepelbagaian yang lebih menyeluruh, kolaborasi bermakna bersama agensi nasional dan tempatan, serta mewujudkan suasana yang selesa untuk keluarga, komuniti dan kumpulan korporat berhimpun.
“Ramadan di SICC bukan sekadar jamuan, tetapi platform yang menyatukan masyarakat dan menyokong ekosistem yang lebih luas,” katanya.
Bagi memperkukuh rantaian bekalan tempatan, SICC menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertanian Malaysia (DoA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA).
Melalui kerjasama itu, hasil tani dan makanan laut tempatan dimanfaatkan dalam penyediaan hidangan Ramadan, sekali gus membantu memperluas akses pasaran, meningkatkan kestabilan pendapatan pengeluar serta merangsang ekosistem logistik dan perusahaan kecil berkaitan sektor hospitaliti.
Sempena pelancaran program berkenaan, SICC turut menganjurkan majlis iftar khas bersama pelajar dan penjaga daripada beberapa institusi tahfiz tempatan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat.
Dalam pada itu, Pengarah Operasi Makanan dan Minuman SICC, Chef Mohd Firdaous Mohd Izhar berkata, perancangan menu tahun ini memberi tumpuan kepada keseimbangan rasa, konsistensi serta variasi hidangan.
“Kami memperhalusi menu tahun ini dengan penekanan kepada keseimbangan, konsistensi dan kepelbagaian. Dengan kerjasama rapat bersama pembekal dan agensi tempatan, kami dapat mengekalkan keaslian sajian sambil memenuhi skala dan kualiti yang dijangkakan daripada SICC,” katanya.
Selain bufet utama, SICC turut menyediakan Ruang Makan Persendirian VVIP yang mampu menampung sehingga 280 tetamu lengkap dengan kemudahan solat, di samping menawarkan Sahur @ Meranti Café serta set Ramadan Takeaway untuk sungkai dan sahur.
Inisiatif berkenaan sekali gus mengukuhkan kedudukan SICC sebagai antara destinasi utama pilihan berbuka puasa di Sabah.






