Rompak RM300, Suspek Berjaya Dikesan dan Ditahan Polis Kurang 48 Jam

Rompak RM300, Suspek Berjaya Dikesan dan Ditahan Polis Kurang 48 Jam

0
SHARE

PENAMPANG: Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki merompak wang tunai RM300 dalam kejadian samun bersenjata di sebuah premis 24 jam di daerah ini, kurang 48 jam selepas insiden dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.57 pagi pada 25 Februari lalu apabila suspek dipercayai bersenjatakan sebilah pisau bertindak mengancam sebelum melarikan wang tunai dari premis berkenaan.

Menurut beliau, hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang berjaya mengesan dan menahan suspek berusia 33 tahun di sebuah hotel di Putatan pada 26 Februari 2026.

“Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan semasa kejadian termasuk sebuah helmet, pakaian, sebilah pisau serta sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah serta penyalahgunaan dadah.

Siasatan lanjut juga mendapati lelaki berkenaan dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun lain yang dilaporkan sebelum ini di sekitar daerah ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Supt. Sammy menyeru orang ramai supaya terus bekerjasama dengan polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah bagi membantu mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.