PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengalu-alukan inisiatif Bataras Sdn. Bhd. menurunkan harga 30 jenis barangan segar antara lima hingga 30 peratus menerusi Kempen Turun Harga Barangan Segar @ Bataras.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kempen yang berlangsung mulai 28 Ogos hingga 31 Oktober 2026 itu melibatkan kesemua 58 cawangan Pasar Raya Bataras di seluruh Sabah.
Menurutnya, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen pemain industri dalam membantu kerajaan menangani isu kos sara hidup, khususnya dengan menawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah kepada pengguna.
“Para pengguna berpeluang membeli sejumlah barangan keperluan pada harga lebih rendah sekali gus membantu meringankan perbelanjaan harian rakyat.
“KPDN amat mengalu-alukan pelaksanaan kempen ini sebagai antara ikhtiar bersama dalam membantu meringankan kos perbelanjaan barangan keperluan rakyat.
“Usaha murni ini wajar diperluaskan dan dicontohi oleh lebih ramai pemain industri termasuk subsektor peruncitan lain sebagai manifestasi tanggungjawab bersama dalam memelihara kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Armizan berkata, pelaksanaan kempen itu juga bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menggerakkan agenda kebersamaan semua pihak menerusi pendekatan seluruh negara atau whole-of-nation dalam menangani isu kos sara hidup yang turut menjadi cabaran global.
Beliau berkata, Bataras merupakan syarikat tempatan yang mula bertapak sejak 1998 dan kini mengendalikan 58 rangkaian pasar raya di seluruh Sabah termasuk di Papar.
Dalam pada itu, Armizan memaklumkan beliau tidak dapat menghadiri pelancaran kempen berkenaan di Pasar Raya Bataras, Papar berikutan kekangan tugasan di Putrajaya.
Majlis pelancaran disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir.
Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Pengiran Saifuddin serta Bataras Sdn. Bhd. atas komitmen melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada pengguna.
“Semoga usaha ini dapat diteruskan dan diperluas sebagai sebahagian daripada ikhtiar bersama membantu rakyat,” katanya.






