TAMPARULI: Seorang lelaki berusia 67 tahun ditemukan maut selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 150 meter ketika dalam perjalanan menuju ke kebunnya di Kampung Kionsom Baru, Tamparuli semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 8.14 malam.
Susulan itu katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bergegas ke lokasi kejadian.
Seramai 10 anggota termasuk Komander Operasi, PBK I Mahmud Jumah, bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS digerakkan ke tempat kejadian.
Pasukan tiba pada jam 8.35 malam dengan jarak perjalanan kira-kira 20 kilometer.
“Hasil operasi mendapati mangsa berada di dalam gaung dan pasukan bomba bertindak menaikkan mangsa dengan peralatan khas. Namun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Operasi berjaya dikawal pada jam 10.00 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.40 malam.
Turut membantu di lokasi adalah tiga anggota PDRM.






