MUDA Sabah Kecam Tindakan Bakar Poster, Tegaskan Protes Aman Mesti Jaga Keselamatan...

MUDA Sabah Kecam Tindakan Bakar Poster, Tegaskan Protes Aman Mesti Jaga Keselamatan Awam

0
SHARE

KOTA KINABALU: MUDA Sabah mengecam tindakan membakar poster semasa perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 di Gaya Street pagi Ahad dan menyifatkannya sebagai simbolik yang tidak wajar serta membahayakan keselamatan awam.

“Walaupun menunjukkan kemarahan rakyat Sabah yang memuncak, tindakan tersebut adalah kurang wajar kerana boleh membahayakan keselamatan pengunjung termasuk kanak-kanak dan warga emas yang turut berada di kawasan tersebut,” katanya dalam sebuah kenyataan.

MUDA Sabah menegaskan pihaknya menyokong penuh hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Namun, keselamatan awam tetap perlu diutamakan dalam sebarang bentuk protes.

“Rakyat Sabah layak dipimpin oleh individu yang bersih, berintegriti dan bebas daripada rasuah. Negeri ini tidak boleh terus dibelenggu oleh kepimpinan yang korup dan mementingkan diri sendiri.

“Sebagai parti yang berpegang kepada prinsip politik matang dan bertanggungjawab, MUDA Sabah menggesa semua pihak agar memastikan protes dijalankan secara aman dan berhemah.

“Rakyat Sabah berhak menuntut perubahan, tetapi perubahan itu harus dibawa dengan keberanian, bukan kebencian. Dengan integriti, bukan provokasi,” katanya.