Remaja 16 Tahun Ditemui Maut di Dasar Sungai Pagalan, Seorang Lagi Masih...

Remaja 16 Tahun Ditemui Maut di Dasar Sungai Pagalan, Seorang Lagi Masih Dicari

0
SHARE

KENINGAU: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan lemas bersama seorang lagi remaja di Sungai Pagalan berhampiran Jeti Feri Pagalan, Jalan Bakti Logam, ditemukan maut di dasar sungai, hari ini.

Mangsa ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pada jam 10.34 pagi, hanya empat minit selepas operasi selaman dimulakan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Severinus Nidzam Sainkui berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua disambung pada jam 9 pagi dengan pencarian di permukaan air sehingga radius tiga kilometer dari lokasi kejadian.

“Bagi pencarian di dasar sungai, operasi dibantu lima anggota PPDA dari BBP Kuala Penyu yang memulakan selaman pada jam 10.30 pagi.

Pada jam 10.34 pagi, mangsa pertama, remaja lelaki berusia 16 tahun, berjaya ditemukan di dasar sungai kira-kira 50 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Severinus berkata, operasi SAR dan selaman masih diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa, remaja lelaki berusia 13 tahun yang masih belum ditemukan.

Katanya, seramai 14 anggota terbabit dalam operasi hari kedua, terdiri daripada sembilan anggota BBP Keningau dan lima anggota PPDA BBP Kuala Penyu.

Operasi diketuai Severinus selaku Komander Operasi Kanan bersama Komander Operasi, PBK II Bonavanture Louis dengan bantuan PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).