Gagal Lari, Lelaki Miliki Syabu Ditahan Polis di Semporna

Gagal Lari, Lelaki Miliki Syabu Ditahan Polis di Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Polis Daerah Semporna menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes berkaitan dadah menerusi satu operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna di Kampung Panji, di sini.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, suspek ditahan selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak agresif dan cuba melarikan diri ketika pemeriksaan dijalankan.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan dan hasil pemeriksaan menemui dadah disyaki jenis syabu dengan berat keseluruhan 5.57 gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, suspek dipercayai warga asing kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan seterusnya dibawa ke IPD Semporna untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Tambahnya, pihak polis akan terus mempergiatkan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.