Wanita Maut, Proton Saga Terbabas Langgar Pokok di Jalan Utara Sandakan

Wanita Maut, Proton Saga Terbabas Langgar Pokok di Jalan Utara Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Seorang wanita maut dalam kemalangan jalan raya selepas kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar pokok di Jalan Utara, di sini, kira-kira jam 6 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Siti Madina Hassan, 51, yang merupakan penumpang sebuah kereta jenis Proton Saga.

Menurut pihak Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Proton Saga yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.

Terdapat tiga mangsa terlibat dalam kejadian itu dan kesemuanya berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.

Seorang mangsa penumpang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Pemandu dan seorang lagi penumpang hanya mengalami kecederaan dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Sandakan menggunakan jentera EMRS dan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut.