KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sedia meletak jawatan bagi membuka ruang kepada seorang pengganti jika langkah itu dilihat dapat mengukuhkan parti.
“Masih ada dua setengah tahun lagi untuk saya menerajui parti. Walaupun dalam mesyuarat majlis tertinggi (Jun 2022) saya telah berkata untuk memendekkan tempoh saya kepada 18 bulan, ahli-ahli berkata untuk mengambil langkah perlahan.
“Namun saya akan kumpulkan semula pandangan ahli,” katanya ketika semasa walkabout Tahun Baharu Cina di Jalan Gaya di sini, pagi tadi.
Sebelum ini beliau mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai presiden parti dalam tempoh tiga tahun.
Maximus berkata calon pengganti antara tiga Timbalan Presiden PBS iaitu Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Dr Yee Moh Chai dan Datuk Jahid Jahim yang mampu memimpin parti.
“Timbalan presiden atau mana-mana orang baharu, mereka semua bersedia untuk memainkan peranan yang lebih besar.
“Saya lakukan apa-apa sahaja yang baik untuk parti dan mengukuhkan kepimpinan, walaupun tanpa saya. Kita ambil seadanya,” tambahnya.
PBS merupakan parti politik tempatan tertua di Sabah dan mempunyai tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Ahli Parlimen.