Yayasan Bank Rakyat Tawar Pembiayaan Pelajar Bahasa Etnik di UPSI

Yayasan Bank Rakyat Tawar Pembiayaan Pelajar Bahasa Etnik di UPSI

0
SHARE
Ewon (tengah) menyaksikan sesi menandatangani MoU UPSI dan YBR

TANJUNG MALIM: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menawarkan pembiayaan pendidikan boleh ubah kepada pelajar-pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengikuti pengajian bahasa etnik di universiti tersebut.

Melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara YBR dan UPSI, sejumlah RM7.5 juta disediakan bagi tempoh lima tahun dengan sasaran 30 orang pelajar setiap tahun yang akan mendapat manfaat tersebut.

MoU tersebut ditandatangani oleh pihak UPSI yang diwakili oleh Naib Canselor UPSI Datuk Dr. Md Amin Md. Taff dan YBR yang diwakili oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Datuk Philip Lasimbang.

UPSI menawarkan pengajian major bagi bahasa Kadazandusun, Iban dan Semai, iaitu bahasa etnik yang dimasukkan dalam kurikulum pendidikan negara.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut Khamis, menyifatkan inisiatif tersebut merupakan satu langkah ke hadapan bagi mengiktiraf dan memperkasakan peranan bahasa ibunda di negara ini.

 

“Saya berbangga kerana pengajian minor bahasa Kadazandusun yang diperkenalkan di UPSI pada tahun 2010 kini diperkasakan hari ini melalui tawaran pembiayaan pengajian. Pada saya, ini merupakan satu bentuk penghormatan dan pengiktirafan kepada bahasa-bahasa ibunda di negara kita.

“Dalam sudut keusahawanan, bahasa etnik mempunyai pengaruh. Contohnya pemasaran dan promosi sesebuah produk dan perkhidmatan yang dibuat dalam bahasa etnik, selain daripada bahasa kebangsaan dan bahasa utama dunia, boleh menarik minat etnik tersebut.

“Dalam masa yang sama, kita harus promosikan penguasaan sekurang-kurangnya tiga bahasa di kalangan rakyat Malaysia iaitu bahasa kebangsaan, bahasa ibunda dan sekurang-kurangnya satu bahasa utama antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU tersebut di UPSI pada Khamis.

Turut sama hadir ialah, mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok yang melancarkan pengajian minor Kadazandusun di UPSI pada tahun 2010.