Identiti Negara Berasaskan Kemajmukan Rakyat Perlu Dipertahan – Ewon

Identiti Negara Berasaskan Kemajmukan Rakyat Perlu Dipertahan – Ewon

0
SHARE

TANJUNG MALIM: Identiti negara yang berasaskan kepada kemajmukan rakyat mesti dihormati, diperkasa dan dipertahankan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Negara Malaysia selama ini dikenali sebagai negara berbilang kaum, agama, bahasa, budaya dan adat resam, oleh itu kemajmukan rakyat ini patut menjadi kekuatan negara.

 

“Kemajmukan rakyat ini seharusnya menjadi kekuatan negara dan mesti dipertahankan bagi mengelak kita terperangkap dengan politik identiti.

“Justeru, peranan institusi pengajian seperti kampus universiti sangat besar terutama menyediakan persekitaran ke arah rasa hormat, toleransi dan semangat kerjasama terutama di kalangan mahasiswanya. Kita bukan hanya mahu mengeluarkan graduan yang berkualiti tetapi juga graduan yang berupaya menjadikan kemajmukan rakyat sebagai kekuatan dalam membina negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatantani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Yayasan Bank Rakyat (YBR) pada Khamis.

Tambah Ewon, UPSI mempunyai kekuatan tersendiri kerana daripada sekitar 30,000 mahasiswa yang ada, sejumlah sekitar 7,000 orang mahasiswanya adalah dari Sabah dan Sarawak.

“Ini boleh membentuk pembudayaan semangat saling menghormati, bertoleransi dan bekerjasama di kalangan mahasiswa.

“Saya akan terus mendukung inisiatif yang bersifat memperkasa dan memperdayakan kemajmukan rakyat negara kita termasuk penganjuran program-program di kampus-kampus pengajian dan institusi pendidikan lain,” ujarnya.