KOTA KINABALU, SABAH – Lebih daripada 7 ribu pegawai dan anggota Divisyen Kelima Infantri (5 Div) Kem Lok Kawi akan menerima dos vaksin penggalak mereka seawal bulan ini.
Panglima 5 Div, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Halim Khalid berkata jumlah tersbut adalah tentera yang bertugas dan akan didahulukan.
“Anggota tentera sahaja dulu disuntik dan kalau ada arahan kita akan buat kepada warga Kem…
“Kita berharap pada hujung November ini semua mereka dapat divaksin supaya lebih bersedia melaksanakan tugas di medan,” katanya.
Jeneral Halim berkata program vaksinasi jangkauan kepada penduduk kawasan pedalaman melalui Jiwa Murni khususnya pasukan vaksinasi medik tempur (CMVT) Anggota Tentera Malaysia (ATM) 5 Div masih berjalan.
“Setakat ini 26 program dalam initiatif itu telah di dilaksanakan seluruh Sabah bagi pemberian vaksin dos pertama dan kedua kepada lebih 20,000 individu,” katanya kepada media.
Beliau ditemui semasa menyempurnakan hari bersama media sempena ulang tahun kedua 5 Div di mana ahli pengamal media diberikan peluang untuk terlibat dalam aktiviti menembak.
Antaranya merupakan permainan ‘pool bull’ (penembak tepat) dan perlawanan kumpulan berobjektif menjatuhkan piring periuk.
Sebagai “tambahan” 5 Div turut melengkapkan pengalaman dengan aktiviti memanah.
Jeneral Halim menjelaskan aktiviti menembak adalah bagi mendedahkan media kepada latihan askar tentera dan menunjukkan kesiapsiagaan bagi menghadapi ancaman.
“Paparan media memberi semangat kepada kita untuk terus melaksanakan tugas memrangi COVID-19…
“Kita berharap kerjasama ini terus dikekalkan agar maklumat tepat sampai kepada rakyat Sabah bahawa 5 Div sentiasa bersama untuk menjaga keselamatan,” katanya.





