Keluarga Mangsa Minta Kerjasama Dalam Usaha Mencari Kapal Kargo Malaysia Yang Hilang

Keluarga Mangsa Minta Kerjasama Dalam Usaha Mencari Kapal Kargo Malaysia Yang Hilang

0
SHARE
Sumber Foto: Bernama...

KOTA KINABALU, SABAH – “Kak, hari-hari kami tidur pakai jaket keselamatan,” luah Derrent Littor, 22, anak kapal kargo MV Dai Cat 06 kepada kakaknya Lyli.

Memetik laporan Bernama, kakak mangsa iaitu Lyli, 28, berkata adiknya yang mula bertugas sebagai kelasi kapal tersebut pada 28 Okt lepas, meluahkan kebimbangan itu apabila kargo mula dimuatkan ke dalam kapal tersebut sebelum ia hilang sejak 9 Jan lepas.

Sumber Foto: Bernama…

Katanya kehilangan kapal kargo itu membuatkan keluarganya tertanya-tanya apa terjadi kepada Derrent dan anak kapal yang lain, sekali gus meminta supaya pemilik kapal, ejen dan pemilik kargo kapal itu tampil menjelaskan mengenai situasi kapal tersebut serta bekerjasama dalam usaha pencarian.

Pada 9 Jan lepas, kapal kargo didaftarkan di Malaysia itu yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru, dipercayai hilang di perairan Indonesia dan laporan berhubung kejadian itu dibuat ejen kapal tersebut pada hari yang sama.

Selain Derrent, dua lagi anak kapal warga Malaysia terdiri pegawai kanan Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, dan kelasi Mohammad Sudeh Sudin, 20, manakala dua lagi kru warga Indonesia iaitu nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, serta ketua jurutera Damai Papane Ole, 57.