FCAS Harap Sabah Kekal Stabil Dengan Kerajaan Persekutuan Hingga Akhir Penggal

FCAS Harap Sabah Kekal Stabil Dengan Kerajaan Persekutuan Hingga Akhir Penggal

0
SHARE

KOTA KINABALU: Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri T.C Goh, berharap kerajaan negeri Sabah kekal stabil dan terus bekerjasama dengan kerajaan perpaduan persekutuan sehingga tamat penggal bagi memastikan pembangunan berterusan.

Berucap pada majlis jamuan Tahun Baharu Cina anjuran FCAS di Dewan Hakka baru-baru ini beliau menegaskan kestabilan dan perpaduan kerajaan adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi Sabah, sejajar dengan inisiatif “Sabah Maju Jaya 1.0” dan fasa seterusnya, “Sabah Maju Jaya 2.0”.

Majlis itu mencatat sejarah dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman, bersama isteri, Toh Puan Datin Sri Faridah, sebagai tetamu kehormat. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, serta beberapa menteri kabinet negeri.

Goh turut menyatakan bahawa kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, yang dibentuk selepas PRN 2020 dan menyokong kerajaan perpaduan pusat selepas PRU15, perlu terus stabil demi kepentingan rakyat.

Beliau juga berharap projek infrastruktur utama seperti Lebuhraya Pan Borneo serta naik taraf lapangan terbang Kota Kinabalu dan Tawau dapat dipercepatkan untuk manfaat rakyat dan ekonomi Sabah.