Lelaki Ditahan, Proses dan Jual Air Ketum di Ranau

Lelaki Ditahan, Proses dan Jual Air Ketum di Ranau

0
SHARE

RANAU: Seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum di sebuah perkampungan di daerah ini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ranau, Supt Mursalin Mahmud berkata, suspek ditahan kira-kira jam 5 petang menerusi operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau hasil risikan berterusan serta maklumat orang awam.

Dalam serbuan itu, polis menemui tujuh botol mineral masing-masing berisi 1.5 liter air ketum yang disimpan di dalam peti ais.

Polis turut merampas sebuah tong gas berwarna hijau, dapur memasak dan periuk yang dipercayai digunakan dalam proses memasak air ketum.

Polis akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang ini demi kesejahteraan masyarakat di daerah Ranau,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mursalin turut mengingatkan masyarakat supaya terus memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222 dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.