30 Usahawan Terpilih Sertai RISE & S-SEED, Sasar Produk Ke Pasaran Global

30 Usahawan Terpilih Sertai RISE & S-SEED, Sasar Produk Ke Pasaran Global

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 30 usahawan Sabah terpilih menyertai Program RISE dan S-SEED sebagai usaha memperkukuh keupayaan perniagaan serta membangunkan produk tempatan yang mampu menembusi pasaran global.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kedua-dua program itu merupakan inisiatif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah.

Menurutnya, RISE atau Resilient, Innovative SEDCO Entrepreneurs memberi tumpuan kepada program bimbingan perniagaan, manakala S-SEED atau Strategic Entrepreneur Development Fund menyediakan pembiayaan keusahawanan.

“Saya menghargai inisiatif RISE yang merupakan program bimbingan perniagaan serta S-SEED yang merupakan program pembiayaan keusahawanan.

“SEDCO memperuntukkan 10 peratus daripada keuntungan tahunannya bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan, di sini, semalam.

Ewon berharap 30 usahawan yang terpilih dapat memanfaatkan kedua-dua program berkenaan untuk meningkatkan daya saing dan membawa produk mereka ke peringkat antarabangsa.

Saya berharap 30 usahawan yang terpilih untuk menyertai Program RISE dan S-SEED ini dapat membangunkan produk untuk pasaran dunia, termasuk memiliki pensijilan halal serta pendaftaran dengan DIDR dan MATRADE,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon berkata Kerajaan Sabah melalui MINDET turut mengambil langkah memperkukuh ekosistem keusahawanan negeri menerusi penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera Sabah.

MINDET juga sedang membangunkan polisi sokongan khas kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan Sabah yang mahu mengembangkan perusahaan mereka di taman perindustrian, bermula di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP).

Menurutnya, kementerian itu juga akan meneliti dan memperkenalkan program latihan keusahawanan yang lebih bersesuaian dengan keperluan serta cabaran semasa usahawan.

Ewon berkata, berdasarkan data pencapaian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara bagi 2025, sektor itu menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, bersamaan RM689.8 bilion.

Sektor berkenaan turut menggaji kira-kira lapan juta pekerja atau 48.7 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara, dengan usahawan Sabah turut menyumbang kepada prestasi sektor PMKS Malaysia.

Hadir sama Pengerusi SEDCO, Datuk Masiung Banah; Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong Kein Peng; timbalan-timbalan setiausaha tetap MINDET, ketua-ketua jabatan serta usahawan.