Syabu Bernilai Lebih RM3,000 Dirampas, Dua Warga Asing Ditahan di Tawau

Syabu Bernilai Lebih RM3,000 Dirampas, Dua Warga Asing Ditahan di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Polis menahan dua lelaki warga asing dan merampas dadah disyaki syabu seberat keseluruhan 31.32 gram bernilai lebih RM3,000 menerusi dua serbuan berasingan di daerah ini, kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia lingkungan 40-an dan 50-an ditahan menerusi Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Tanjung Baru Laut dan Kampung Hidayat Batu 4.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 12.20 tengah hari di tepi Jalan Tanjung Baru Laut selepas polis mengesan seorang lelaki warga asing berusia 50-an dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki syabu seberat 0.40 gram,” katanya di sini, semalam.

Dalam serbuan kedua kira-kira jam 7 malam di Kampung Hidayat Batu 4, seorang lagi lelaki warga asing berusia 40-an ditahan selepas polis menemui lapan paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu.

Dadah berkenaan dianggarkan seberat 30.92 gram dengan nilai kira-kira RM3,090.

Rosdi berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek berkenaan turut didapati positif methamphetamine dan amphetamine.

Secara keseluruhan, polis merampas 31.32 gram syabu dengan nilai anggaran RM3,120 dalam kedua-dua serbuan berkenaan.

Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang daripada mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Rosdi menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta menyeru orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan sehingga ke akar umbi.