Ketua Cawangan UMNO Kg Brunei Bersama 50 Ahli Keluar Parti dan Sokong...

Ketua Cawangan UMNO Kg Brunei Bersama 50 Ahli Keluar Parti dan Sokong GRS di Membakut

0
SHARE

MEMBAKUT: Ketua Cawangan UMNO Kampung Brunei, Asni Jalani, bersama timbalannya dan lebih 50 ahli UMNO cawangan berkenaan hari ini mengisytiharkan keluar parti dan secara rasmi menyatakan sokongan penuh kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam pengumuman yang dibuat di Membakut, Asni berkata keputusan tersebut dibuat selepas menilai kepimpinan serta hala tuju politik semasa, di samping keyakinan terhadap pembangunan yang dibawa oleh GRS di bawah kepimpinan calon DUN Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

“Asas keputusan kami jelas, kami percaya GRS dan Datuk Mohd Arifin mempunyai rekod kerja serta perancangan yang jauh lebih meyakinkan untuk masa depan Membakut. Sokongan kami adalah untuk memastikan pembangunan tidak terhenti dan manfaatnya terus sampai kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Cawangan, Yunus, turut menyeru lebih ramai ahli akar umbi untuk memberi peluang kepada GRS menyambung agenda pembangunan sedia ada.

Katanya, kesinambungan kepimpinan Datuk Mohd Arifin amat penting bagi memastikan perubahan positif yang sedang dinikmati penduduk Membakut tidak terganggu.

“Kami melihat sendiri komitmen dan hasil kerja Datuk Arifin. Beliau layak diberi mandat untuk meneruskan pembangunan untuk masyarakat Membakut,” ujar Yunus.

Pengumuman itu sekali gus mengukuhkan lagi sokongan akar umbi terhadap GRS di Membakut menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah Ke-17, dengan Asni dan Yunus menegaskan kesediaan mereka untuk bersama GRS dalam memperkukuh perpaduan serta mempercepat kemajuan kawasan tersebut.