KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri akan menunggu sehingga formula perkongsian cukai pelancongan diketahui untuk memberikan komen selanjutnya mengenai perkara itu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata setakat hari ini, kerajaan negeri masih tidak menerima sebarang maklumat mengenai formula perkongsian cukai pelancongan.
“Kita akan mengadakan mesyuarat bersama kerajaan negeri Sarawak berkaitan perkara itu bagi mewujudkan satu cadangan yang mempunyai kebaikan bersama untuk dihantar kepada kerajaan pusat.
“Akta Cukai Pelancongan 2017 itu masih boleh diperhalusi dan disesuaikan untuk negeri Sabah dan Sarawak, mungkin juga untuk seluruh negara,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri Sabah Bersama Jemaah Menteri Sabah, kelmarin.
Beliau berkata perbincangan dengan kerajaan negeri Sarawak bertujuan mewujudkan fakta dan mencari penyelesaian bagaimana kedua-dua ini boleh bekerjasama dalam perkara itu.
“Kerjasama itu bukan sahaja mampu mewujudkan cadangan bersama tetapi juga lebih menyenangkan pihak kerajaan pusat bagi membuat keputusan sewajarnya.
“Saya dimaklumkan bahawa cukai itu adalah mustahil untuk dilaksanakan pada awal Julai depan memandangkan proses pendaftaran oleh pihak hotel masih belum dilaksanakan.
“Bagaimana mahu memungut cukai sekiranya proses pendaftaran belum dilaksanakan,” katanya.
Masidi berkata sehingga kini, masih belum ada pihak hotel yang telah memulakan usaha untuk mendaftarkan hotel mereka terhadap cukai terbabit.
Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Masidi menjelaskan kerajaan negeri menerima pelaksanaan Akta Cukai Pelancongan 2017, namun mahu penjelasan lebih lanjut mengenai beberapa isu penting bagi manfaat industri pelancongan Sabah.
Katanya, kabinet negeri dalam mesyuarat yang diadakan telah membincangkan secara panjang lebar mengenai akta berkenaan.
“Kementerian saya telah diamanahkan untuk membincangkan beberapa isu utama akta itu dan melaporkan kembali kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman serta kabinet negeri hasil penemuan dan cadangan mereka.
“Sabah ingin menyumbangkan idea dan cadangan untuk memperhalusi peruntukan tertentu dalam akta itu dalam mengukuhkan industri pelancongan di negeri ini.
“Ini kerana, pelancongan adalah industri yang sangat berdaya saing dan turut menjadi penyelamat ekonomi pada masa yang mencabar,” katanya.