BINTULU, SARAWAK – Seorang pelajar tingkatan 1 dijumpai mati lemas pada kira-kira jam 9 malam tadi di muara Sungai Tatau dalam tempoh dua jam selepas dilaporkan hilang apabila cuba menyelamatkan bola yang terjatuh ke dalam sungai.
Pegawai Operasi Balai Bomba Bintulu, Mohd Ishak Imran berkata semasa kejadian iaitu pada kira-kira jam 7 malam, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Izzudin Abdullah cuba untuk mengambil bola yang terjatuh ke dalam sungai berkenaa, tetapi tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai hingga menyebabkan mangsa hanyut dan lemas.
“Sejurus menerima maklumat berhubung insiden berkenaan, pihak kita telah mengerahkan enam anggota yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Joseph Balun bagi menjalankan usaha mencari dan menyelamatkan mangsa,” ujarnya.
Setelah hampir dua jam pencarian, mayat mangsa ditemui penduduk kampung tidak jauh dari lokasi mangsa terjatuh.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.





