KUDAT: Seorang lelaki berusia 41 tahun cedera ringan selepas lori muatan ikan enam tan yang dipandunya terbabas sendiri di bahu Jalan SESB di sini, tengah hari tadi.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 1.02 petang.
Sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dikejarkan ke lokasi kejadian terletak kira-kira enam kilometer dari balai.
“Pasukan EMRS memberikan rawatan awal kepada mangsa di lokasi sebelum membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Kemalangan hanya melibatkan sebuah lori yang terbabas sendiri tanpa melibatkan kenderaan lain. Mangsa lelaki mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.57 petang.






