GAMMAS Anjur Perhimpunan Aman Mahasiswa Sabah, Sokong Kerajaan Negeri

GAMMAS Anjur Perhimpunan Aman Mahasiswa Sabah, Sokong Kerajaan Negeri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sekretariat Gerakan Anak Muda dan Mahasiswa Anak Sabah (GAMMAS) akan menganjurkan satu perhimpunan aman pada 21 dan 22 Jun 2025 bertempat di Jalan Gaya, Kota Kinabalu bermula jam 2 petang, sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurut kenyataan GAMMAS, notis perhimpunan telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu pada 16 Jun lalu.

Katanya, walaupun terdapat cubaan menghalang, perhimpunan itu akan tetap diteruskan.

“Kami ingin memberi penjelasan bahawa majoriti pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak menyokong perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa UMS,” tegas GAMMAS dalam kenyataan media tersebut.

Antara tujuan utama perhimpunan adalah menyatakan penghargaan terhadap pelbagai inisiatif kerajaan negeri termasuk bantuan one-off RM300 melalui program SENTOSA, bantuan BUDI bernilai RM1,500 hingga RM2,000, SUBFLY (subsidi tiket penerbangan), bantuan biasiswa sehingga RM50 juta serta bantuan peranti.

GAMMAS turut memuji usaha kerajaan membina peluang pekerjaan melalui pembukaan kilang Nexilis dan Kibing di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP).

Selain itu, mereka menekankan kepentingan mempertahankan Institusi Istana sebagai simbol perpaduan pelbagai kaum di Sabah, sambil menggesa tindakan terhadap mana-mana pihak yang menghina institusi tersebut.

Dalam pada itu, GAMMAS turut menuntut ketelusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan membuka semua siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana luar bandar RM1.5 bilion melibatkan Datuk Seri Shafie Apdal.