Srikandi Bersatu Sabah Beri Sumbangan Kepada Mangsa Kebakaran Kampung Tg Aru

Srikandi Bersatu Sabah Beri Sumbangan Kepada Mangsa Kebakaran Kampung Tg Aru

0
SHARE
Redonah menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran Balai Raya Kg Tanjong Aru kelmarin...

KOTA KINABALU, SABAH – Kira-kira 49 keluarga mangsa kebakaran telah menerima sumbangan daripada Srikandi Bersatu Sabah di Balai Raya Kampung Tanjong Aru Tengah kelmarin.

Sumbangan disampaikan oleh Penolong Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah, Dato Redonah Bahanda kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Tanjong Aru Ridhuan Datuk Aklee
dengan disertai Pengerusi Biro Kebajikan Srikandi Sabah, Salmi Sarinoh; Ketua Srikandi Putatan, Salmah Sait, Ketua Srikandi Papar Fahzean Mohiddin, Setiausaha Kerja Srikandi Sabah, Aziah Atoh (Sepanggar) dan Timbalan Penerangan Ketua Srikandi Sabah Liza Din.

Sumbangan tersebut berupa bakul makanan, kain untuk lelaki dan wanita.

Menurut Dato Redonah Bahanda yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, biarpun sedikit sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat meringankan sedikit bebanan mereka dan diharap dapat memberi semangat baharu kepada mangsa.

Beliau turut mengingatkan masyarakat yang mendiami kawasan perkampungan atas air agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam penggunaan peralatan elektrik dan ketika memasak bagi mengelak berlakunya kejadian kebakaran.

“Musibah datang tanpa kita duga, sekarang pandemik Covid-19 amat menekan rakyat dan untuk mereka-mereka yang hari ini yang saya kunjungi, lebih menyedihkan lagi apabila mereka turut diuji, kediaman mereka terbakar…

“Fokus sekarang adalah membendung penularan wabak COVID-19 supaya rakyat dan negara boleh kembali seperti sebelumnya,” jelas Redonah.

Dalam kejadian pada awal pagi Selasa lalu, seramai 51 ketua isi rumah (KIR) yang membabitkan 216 penduduk kehilangan tempat tinggal selepas 33 rumah di perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru, dekat sini musnah dalam kebakaran itu.