KOTA KINABALU: Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar (UPPLB) dengan kerjasama National University of Singapore (NUS) berjaya menganjurkan Program Native Sabahan Beadswork sebagai inisiatif silang budaya, baru-baru ini.
Ketua UPPLB merangkap Pengarah Program, Profesor Madya Dr. Connie Shin @ Connie Cassy Ompok berkata, program itu bertujuan memperkenalkan serta memartabatkan seni kraf manik tradisional masyarakat pribumi Sabah kepada peserta antarabangsa.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan bukan sahaja memberi pendedahan terhadap nilai budaya dan identiti warisan tempatan, malah berperanan sebagai medium pertukaran budaya dan pengetahuan.
“Program ini juga dapat meningkatkan kefahaman serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya melalui aktiviti pembelajaran secara praktikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Program berkenaan melibatkan penyertaan 16 pelajar dari Fakulti Sains NUS dan dilihat mampu mengukuhkan jaringan akademik serta hubungan dua hala antara UMS dan universiti tersebut.
FPPS turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program itu dan berharap usaha seumpama ini dapat diteruskan bagi menyokong pemeliharaan serta pelestarian warisan budaya tempatan.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Dekan FPPS, Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta.
Turut hadir ialah pensyarah NUS, Dr. Shao Ting Hoong; Setiausaha Program, Mohamad Akmal Ariq Dzainuddin; serta tenaga pengajar pakar seni manik tradisional Sabah, Agnes Angkung dan Doris Sabala.






