Suami Isteri Maut, Dirempuh Ford Ranger Ketika Pulang Beli Kelengkapan Sekolah di...

Suami Isteri Maut, Dirempuh Ford Ranger Ketika Pulang Beli Kelengkapan Sekolah di Tuaran

0
SHARE

TUARAN: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger Raptor dalam kemalangan tragis di Kampung Minangkob, Jalan Tamparuli–Ranau, di sini, pada petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mustofa, 44, dan isterinya, Nur Shilla Abdullah, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas tercampak ke gaung susulan pertembungan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki dari arah Ranau menuju ke Kota Kinabalu dipercayai cuba memintas kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan motosikal mangsa di laluan bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke gaung dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, dua lelaki berusia 30 tahun yang berada di dalam Ford Ranger Raptor mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

Difahamkan, pasangan suami isteri berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bongol selepas membeli peralatan persekolahan anak-anak mereka sebelum tragedi itu berlaku.

Pasangan berkenaan meninggalkan tiga cahaya mata berusia tujuh, 13 dan 17 tahun, yang kesemuanya masih bersekolah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum menggerakkan 10 anggota ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 25 kilometer.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, dua mangsa dalam kenderaan pacuan empat roda telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital, manakala penunggang serta pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM,” katanya.

Beliau berkata, setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang dan mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.