PRU15: Ewon Tinjau Pusat Mengundi Di Penampang Selepas Tunai Tanggungjawab Mengundi

PRU15: Ewon Tinjau Pusat Mengundi Di Penampang Selepas Tunai Tanggungjawab Mengundi

0
SHARE

PENAMPANG, SABAH – Calon Pakatan Harapan (PH) Penampang Datuk Ewon Benedick selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di SK Kiau, Kota Belud sekitar jam lapan pagi tadi.

Selepas itu beliau bergegas balik ke Penampang untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai bakal wakil rakyat kawasan itu dengan meninjau pusat-pusat mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog dan DUN Kapayan.

Beliau diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan Penampang.

Antara Pusat Mengundi yang mereka tinjau, SK Moyog, SK Babagon, SK St Theresa, Sk St Aloysius Limbanak, SK Sugud, SJK (C) Yue Min, SJK (C) Shan Tao, SK Kapayan dan Dewan Kg. Kibouvang Kepayan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Ewon yang juga bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berdepan saingan sengit antara penyandang kerusi Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking (Warisan), Richard Jimmy (Bebas) dan Kenny Chua Teck Ho (GRS-STAR).

Seramai 77,214 pengundi berdaftar di Parlimen Penampang pada PRU15 yang majoritinya kaum Kadazandusun.