Bantuan Banjir Tiba di SK Rampayan, Perabot Rosak Diganti Sebelum Sesi Persekolahan

Bantuan Banjir Tiba di SK Rampayan, Perabot Rosak Diganti Sebelum Sesi Persekolahan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Bantuan segera yang diumumkan Kerajaan Negeri Sabah kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Menggatal, yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, telah tiba di sekolah berkenaan pada Jumaat.

Bantuan berkenaan merangkumi peralatan asas termasuk perabot murid dan guru bagi menggantikan kelengkapan yang rosak akibat banjir, sekali gus membolehkan sesi pembelajaran disambung dalam keadaan lebih selesa dan selamat.

Penyaluran bantuan itu adalah susulan arahan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib, selepas lawatan kerja beliau ke sekolah berkenaan pada Selasa lalu bagi meninjau tahap kerosakan akibat bencana tersebut.

Semua bantuan diselaraskan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi memastikan keperluan mendesak sekolah dapat ditangani dengan segera, khususnya sebelum pembukaan sesi persekolahan minggu ini.

Hasil pemantauan mendapati banjir telah menyebabkan kerosakan terhadap perabot murid, peralatan teknologi maklumat serta kemudahan bilik guru, yang memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan gangguan pembelajaran.

Sebelum ini, menteri mengarahkan pembekalan kira-kira 300 unit meja dan kerusi murid, penggantian sekitar 10 unit komputer dan sebuah pencetak, serta penyediaan lebih 40 unit meja dan kerusi guru untuk kegunaan sekolah berkenaan.

Bantuan lain yang telah diumumkan akan disalurkan secara berperingkat dan dijangka menyusul dalam masa terdekat, selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pemulihan sekolah terjejas dilaksanakan secara menyeluruh.

Selain SK Rampayan, beberapa sekolah lain turut dikenal pasti terjejas akibat banjir, dan kementerian memaklumkan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi menyalurkan bantuan sewajarnya mengikut keperluan semasa, demi kebajikan murid dan warga pendidik.