Mahasiswa Politeknik Adalah ‘Enjin’ Pemacu Hala Tuju Sabah Maju Jaya

Mahasiswa Politeknik Adalah ‘Enjin’ Pemacu Hala Tuju Sabah Maju Jaya

0
SHARE

SANDAKAN: Mahasiswa institusi teknikal dan vokasional (TVET) diseru untuk mempersiapkan diri sebagai modal insan berkemahiran tinggi bagi menyokong agenda pembangunan negeri di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazeem Mubarak Musa berkata, transformasi daripada seorang pelajar kepada mahasiswa yang kompeten adalah kunci utama dalam memenuhi tuntutan industri moden yang semakin mencabar.

“Pembangunan modal insan adalah pelaburan terpenting bagi masa depan negeri. Kita mahu melahirkan anak-anak Sabah yang bukan sahaja memiliki kelulusan akademik, tetapi juga mempunyai Kemahiran yang tinggi, kompeten, dan mampu berdaya saing di peringkat global,” katanya memetik pesanan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata demikian Ketika merasmikan Minggu Transformasi Siswa (MTS) di Politeknik Sandakan Sabah, hari ini.

Menurut Hazeem, Politeknik Sandakan memainkan peranan strategik sebagai ‘kilang’ yang melahirkan teknokrat muda yang bakal memacu ekonomi khususnya di kawasan Sandakan.

Beliau turut menekankan bahawa kebolehpasaran graduan TVET kini menjadi keutamaan majikan berbanding kelulusan teori semata-mata.

“Saudara dan saudari adalah ‘enjin’ kepada transformasi ekonomi kita. Jangan hanya menunggu peluang, tetapi ciptalah peluang tersebut melalui inovasi dan kemahiran yang ditimba di sini,” tambah beliau lagi.

Dalam majlis tersebut, seramai 144 mahasiswa baharu memulakan sesi pengajian mereka di Politeknik Sandakan Sabah.

Program Minggu Transformasi Siswa ini bertujuan untuk menyuntik semangat kepimpinan, jati diri, dan penyesuaian diri mahasiswa dengan budaya kampus yang dinamik.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah barisan pengurusan tertinggi politeknik, serta pemimpin masyarakat setempat.