LAHAD DATU: Tiga maut termasuk dua lelaki berusia 56 dan 43 tahun serta seorang wanita berusia 39 tahun, manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah Toyota Innova dan lori treller muatan kernel sawit di Jalan Dewata, Pondok Ketam, tengah hari, kelmarin.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, Toyota Innova yang bergerak dari arah Lahad Datu ke Kunak telah diseret sejauh lebih kurang 30 meter selepas bertembung dengan lori dari arah bertentangan.
“Setibanya di lokasi, kami terus mewujudkan ruang kerja dan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya seorang pegawai jurucakap.
Menurut beliau, tiga mangsa yang menaiki Toyota Innova disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian, manakala kanak-kanak lelaki segera dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan.
“Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” tambah beliau.
Pemandu lori dilaporkan selamat dan telah ke balai polis sebelum ketibaan pasukan bomba. Punca kemalangan masih dalam siasatan polis.






