PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang disyaki terlibat dalam kes khianat kabel Telekom Malaysia di Jalan Taman Bulan, awal pagi Jumaat.
Tangkapan dibuat hasil risikan pasukan khas Task Force Curi Kabel Balai Polis Penampang selepas mengesan beberapa individu sedang memotong kabel sebelum melarikan diri dengan kenderaan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata kejadian kejar-mengejar berlaku dari Penampang hingga ke Kota Kinabalu dengan bantuan MPV IPD Kota Kinabalu.
“Sebuah kenderaan berjaya ditahan manakala beberapa suspek lain masih diburu. Polis turut merampas segulung kabel telekom, pemotong besi dan sebuah kenderaan bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat tampil bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.






