PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) — Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) menegaskan kerahsiaan data pembayar cukai di platform MyTax adalah selamat dan terjamin kerana ia dilindungi oleh teknologi keselamatan data yang diiktiraf.
HASiL menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan kebocoran data pembayar cukai yang tular di media sosial semalam.
Menurut agensi itu, pihaknya meletakkannya keutamaan yang tertinggi dalam usaha meningkatkan keyakinan serta kepercayaan pembayar cukai terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh HASiL dalam urusan pentadbiran percukaian.
“HASiL akan terus berusaha menambah baik mutu perkhidmatan dan bertindak secara proaktif dan telus bagi menangani isu ini,” menurut kenyataan itu.
Sebuah portal berita tempatan hari ini melaporkan warganet mendakwa bahawa maklumat peribadi pembayar cukai boleh diakses oleh sesiapa sahaja menerusi laman sesawang MyTax, yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk pembayar cukai mengendalikan urusan cukai dalam talian.
Laporan itu juga menyatakan bahawa seseorang hanya memerlukan nombor MyKad untuk mengakses maklumat sensitif seperti alamat rumah, nombor telefon, nombor akaun bank, alamat e-mel dan nombor cukai.
MyTax merupakan pusat gerbang maklumat dan pusat sehenti bagi pembayar cukai yang diperkenalkan HASiL pada 19 November 2020.
– BERNAMA