Jepun Turunkan Tahap Nasihat Perjalanan, Bukti Sabah Semakin Selamat – Jafry

Jepun Turunkan Tahap Nasihat Perjalanan, Bukti Sabah Semakin Selamat – Jafry

0
SHARE

KOTA KINABALU: Keputusan Kementerian Luar Jepun untuk menurunkan tahap nasihat perjalanan bagi beberapa kawasan di Pantai Timur Sabah disifatkan sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap peningkatan tahap keselamatan negeri ini serta keyakinan terhadap Sabah sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan stabil.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, langkah tersebut mencerminkan hasil usaha berterusan kerajaan negeri bersama agensi keselamatan dalam memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan pemantauan serta memastikan keselamatan pelawat sentiasa terjamin.

“Perkembangan ini merupakan pengiktirafan yang jelas dan tidak dapat disangkal bahawa Sabah adalah destinasi yang selamat, stabil dan bersedia menerima kedatangan pelawat dari seluruh dunia.

“Penurunan tahap nasihat perjalanan ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi berdasarkan penambahbaikan yang nyata dan boleh diukur di lapangan, termasuk sifar insiden penculikan untuk wang tebusan sejak tahun 2020, penyelarasan yang lebih kukuh antara agensi penguatkuasaan serta persekitaran keselamatan yang terus bertambah baik dari tahun ke tahun,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, di bawah semakan terbaharu itu, Kementerian Luar Jepun telah menurunkan tahap nasihat perjalanan bagi pulau-pulau di Pantai Timur Sabah, kecuali Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan beberapa pulau lain, daripada Tahap 3 yang menasihatkan agar tidak melakukan perjalanan kepada Tahap 2 yang hanya menasihatkan agar mengelakkan perjalanan yang tidak penting.

Pada masa sama, nasihat perjalanan bagi kawasan pesisir pantai dari Kudat hingga Tawau, termasuk Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan kawasan sekitarnya, turut diturunkan daripada Tahap 2 kepada Tahap 1 yang hanya menggesa pelancong supaya sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan berkenaan.

Jafry berkata, kerajaan negeri menghargai pengiktirafan yang diberikan Jepun serta negara-negara lain yang sentiasa mengemas kini nasihat perjalanan mereka berdasarkan situasi semasa di lapangan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan ikhlas kepada rakan-rakan antarabangsa kita, termasuk Jepun, kerana mengiktiraf perkembangan positif ini dan sentiasa mengemas kini nasihat perjalanan mereka berdasarkan keadaan semasa di lapangan.

“Kepada para pelancong dari seluruh dunia, saya ingin menegaskan bahawa Sabah kekal sebagai salah satu destinasi paling indah, pelbagai dan semakin selamat di rantau ini,” katanya.

Beliau turut berkata perkembangan positif itu perlu disusuli dengan peningkatan kesalinghubungan penerbangan ke Sabah bagi memenuhi jangkaan pertambahan ketibaan pelancong.

“Penambahan kekerapan penerbangan dan pembukaan laluan baharu amat penting bagi memastikan akses yang lebih baik ke Sabah serta menyokong pertumbuhan industri pelancongan di seluruh negeri,” katanya.

Menurut Jafry, kerajaan negeri kini turut mempergiatkan persiapan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027 yang bakal menjadi platform utama untuk mempromosikan keindahan alam semula jadi, kekayaan budaya dan layanan mesra rakyat Sabah kepada masyarakat antarabangsa.

Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan berasa selesa dengan pencapaian semasa, sebaliknya akan terus memperkukuh aspek keselamatan demi melindungi rakyat dan memastikan industri pelancongan Sabah terus berkembang secara mampan.

“Kami menantikan kehadiran lebih ramai pelawat dari Jepun dan seluruh dunia untuk menikmati keunikan, keramahan serta keindahan yang ditawarkan oleh Sabah,” katanya.