Oleh: Mirlen Axtius
TUARAN: Bagi sesetengah keluarga, bantuan wang tunai yang diterima menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi talian hayat untuk meneruskan kehidupan, mendapatkan rawatan kesihatan dan memastikan anak-anak terus bersekolah.
Itulah antara luahan beberapa penerima bantuan yang ditemui pada program berkenaan hari ini yang menyifatkan bantuan kerajaan negeri itu sebagai satu kelegaan besar dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.
Bagi Dulina Longkin, 64, dari Kiulu, bantuan SYUKUR banyak digunakan untuk menampung kos perjalanan menghadiri temu janji rawatan di hospital selepas menjalani pembedahan pinggul kiri akibat kecederaan serius yang dialaminya sejak Julai tahun lalu.
Menurutnya, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan beliau tidak lagi mampu mencari pendapatan sendiri seperti dahulu.
“Duit bantuan ini saya gunakan untuk pergi temu janji di hospital. Saya sudah menjalani pembedahan dan tulang pinggul yang patah serta tercabut, terpaksa digantikan dengan tulang palsu.
“Dulu saya perlu datang ke hospital setiap tiga bulan, tetapi sekarang hanya setiap enam bulan sekali untuk rawatan susulan,” katanya.
Lebih menyentuh hati, beliau mengakui bantuan itu amat bermakna kerana tidak lagi berupaya bekerja.
“Bantuan ini memang sangat membantu. Saya tidak mampu cari duit lagi seperti dahulu. Sebab itu saya sangat bersyukur dan berbesar hati kerana menerima bantuan kewangan seperti ini.
“Saya juga berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana memperkenalkan bantuan ini untuk rakyat seperti kami yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Moroh Biging, 56, dari Tamparuli, yang bekerja sendiri sebagai tukang jahit kasut berkata, bantuan SYUKUR membantu beliau menampung perbelanjaan keluarga termasuk keperluan persekolahan anak.
Moroh yang menanggung seorang anak kandung dan seorang anak angkat yang masih bersekolah berkata, pendapatannya tidak menentu kerana bergantung sepenuhnya kepada tempahan pelanggan.
“Saya bekerja menjahit kasut dan pendapatan memang tidak menentu. Kadang-kadang ada pendapatan, kadang-kadang langsung tiada. Sebab itu bantuan ini sangat membantu untuk membeli barang dapur dan keperluan harian keluarga,” katanya.
Beliau berkata sebahagian bantuan yang diterima turut diperuntukkan bagi perbelanjaan pendidikan anak-anak.
“Saya simpan sikit-sikit untuk belanja sekolah anak, termasuk yuran, tambang dan keperluan lain. Bantuan ini benar-benar meringankan beban kami,” katanya.
Moroh turut meluahkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan Ketua Menteri atas pelaksanaan program tersebut.
“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan dan Ketua Menteri yang mengilhamkan program ini. Sebelum ini saya berada dalam sistem eKasih sejak 2004 tetapi tidak pernah menerima bantuan. Apabila menerima bantuan ini, saya benar-benar rasa terharu,” katanya.

Bagi Heleney Emin, 42, dari Kampung Bundung, Tuaran, bantuan SYUKUR memberi sedikit kelegaan kepada keluarganya yang mempunyai dua orang anak berusia 13 dan lapan tahun yang masih bersekolah.
Heleney dan suaminya bekerja di sektor semaian getah dan bergantung kepada pendapatan harian untuk menyara keluarga.
“Saya sangat gembira kerana ini kali pertama saya menerima bantuan seperti ini. Ia dapat meringankan beban kewangan keluarga kami.
“Banyak kegunaannya terutama untuk perbelanjaan sekolah anak-anak, barang dapur dan keperluan harian,” katanya.
Menurutnya, bantuan tersebut amat membantu dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup yang memberi kesan kepada keluarga berpendapatan rendah.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana memberi bantuan SYUKUR ini. Ia benar-benar membantu meringankan perbelanjaan harian keluarga kami,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melancarkan Program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) Daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, di sini pagi tadi sebelum menyampaikan bantuan kepada penerima yang layak.






